Kuba Guling Viral : Hitam itu Menawan

Penulis terpanggil untuk menulis artikel berkenaan kuba guling yang viral sepanjang Ramadhan kerana penulis adalah orang Kelantan yang pernah makan kuba guling sejak dari kecil kerana tinggal di Rantau Panjang tetapi tidak pula viral ketika itu. Selain itu, penulis juga adalah pensyarah dalam bidang toksikologi makanan jadi penjelasan ini akan berkisarkan tentang isu kesan sampingan dan bukan isu kesedapan makanan tersebut.

 

Sejarah Kuba Guling

 

Kuba Guling (Kerbau Guling) adalah kuih yang berasal dari Thailand, dan agak terkenal di wilayah sempadan Kelantan dan Thailand. Sebab itulah ia terdapat di Rantau Panjang. Kuba guling ini adalah kuih manis yang disediakan dengan pelbagai jenis ramuan dan yang paling utama adalah abu dari tempurung kelapa yang akan menghasilkan warna hitam/gelap. Pengguna juga boleh menggunakan ‘activated charcoal’ yang terdapat di bakeri untuk menghasilkan kesan hitam berkenaan.

 

Isu abu dari tempurung kelapa

 

Ramai bertanyakan adakah abu dari tempurung kelapa ini bahaya? Jawapannya tidak sama sekali. Abu dari tempurung kelapa atau lebih dikenali dengan arang aktif ‘activated charcoal’ merupakan satu komponen yang terhasil apabila tempurung kelapa berkenaan dibakar pada suhu tinggi menghasilkan karbon. Dalam kuba guling, abu ini akan digunakan terus dalam masakan namun untuk penghasilan ubatan, abu ini akan diproses dengan suhu tinggi menjadi lebih poros. Tempurung kelapa yang dibakar juga dihasilkan sebagai ubatan yang dikenali sebagai pil charcoal atau activated charcoal. Selain itu, abu ini juga merupakan asalnya serbuk pewarna hitam yang terdapat di bakeri ketika ini. Activated charcoal juga lazim digunakan dalam pelbagai produk kecantikan seperti ubat gigi, pencuci muka dan sebagainya.

 

Activated charcoal sebagai ubatan

 

Ramai sebenarnya pernah mengambil activated charcoal. Ubat ini lazim digunakan dalam kes gastrik bagi pembuangan gas/penyerapan gas di dalam perut dan kes apabila ketoksikan hepar yang berlaku akibat pengambilan ubat tahan sakit yang berlebihan. Ubat activated charcoal boleh didapati di farmasi dan tidak perlu preskripsi doktor.

 

Activated charcoal sebagai bahan makanan

 

Sebelum viral kuba guling, ramai sebenarnya telah menggunakan activated charcoal ini untuk menghasilkan kesan hitam dalam makanan terutamanya produk bakeri/roti atau aiskrim. Produk ini popular di Malaysia dan di luar negara sebagai trend baru.

Adakah ia selamat?

 

Activated charcoal adalah selamat untuk dimakan. Dos yang berlebihan akan menyebabkan kesan malnutrisi tubuh di mana activated charcoal/abu ini akan menyerap nutrient lain seperti kalsium, kalium dan nutrient lain. Selain itu, activated charcoal juga boleh menyerap kesan efektif ubatan lain seperti ubat asma dan ubat hormone yang lazim diambil oleh pesakit PCOS (Polycystic Ovarian Syndrome). Walaupun begitu, dos ini hanya akan dicapai apabila kita mengambil pil activated charcoal sebagai ubatan, bukan dalam makanan. Dos/Jumlah yang digunakan dalam makanan adalah sedikit dan tidak akan menyebabkan kesan sampingan. Sebagai tukang masak pula, jangan pula gunakan secara berlebihan kerana abu ini adalah pahit, gusar nanti akan menganggu rasa masakan anda. Nah, jangan pula anda makan kuba guling tiap masa, pagi petang siang dan malam ya hanya kerana ia selamat. Ingat, dalam konsep toksikologi, dos/jumlah yang akan menentukan samada ianya adalah ubatan dan racun bagi tubuh anda.

 

Activated Charcoal dan Polisiklik Aromatik Hidrokarbon

Walaupun kedua-dua mempunyai warna yang sama, namun karakternya berbeza. Polisiklik hidrokarbon (PAH) yang terhasil akibat pembakaran arang/minyak pada suhu tinggi yang lazimnya akan terdapat pada kesan kehitaman produk makanan seperti sate, daging bakar, roti canai dan sebagainya adalah satu komponen yang dilaporkan oleh IARC (International Agency for Cancer Research) sebagai komponen yang meninggikan risiko untuk memperoleh kanser (karsinogen). Sebaliknya, activated charcoal adalah arang aktif yang lazim digunakan dalam perubatan tradisional untuk bahan detoks tubuh kerana strukturnya yang mikro. Bayangkan activated charcoal ini sebagai span yang dapat menyerap pelbagai komponen lain.

 

Kesimpulan

 

Dalam prinsip toksikologi terutamanya toksikologi makanan, ingin ditekankan semula setiap yang dimakan itu akan menjadi ubat atau racun, bergantung kepada dos/jumlah yang dimakan. Oleh itu, kuba guling viral memang selamat untuk dimakan, namun, jangan pula ketagih dan makan pada tiap masa sehingga menyebabkan kesan sampingan pula.Jika anda penggemar kuba guling, anda sebenarnya perlu risau kepada amaun gula yang terdapat dalam setiap kuih itu, tinggi kalori tu!, dan bukan pada pewarna berkenaan.

Nota : amalkan variasi dalam makanan dan jangan hanya mengikut trend, be safe everyone!

Sumber : Root of science

Apa Komen Sis